[KDS1M] Kad Diskaun Siswa 1 Malaysia

Selari dengan sasaran kerajaan melalui Bidang Keberhasilan Utama Negara (National Key Result Areas), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) telah mewujudkan Kad Diskaun Siswa 1Malaysia (KDS1M) dengan objektif untuk membantu mengurangkan kos sara hidup pelajar-pelajar di Institusi Pengajian Tinggi (IPT) awam dan swasta seluruh negara.

Melalui kad diskaun ini pelajar IPT akan menikmati potongan harga bagi pembelian barangan dan perkhidmatan di premis-premis perniagaan yang mengambil bahagian. Majlis Pelancaran KDS1M telah dilancarkan oleh YAB Timbalan Perdana Menteri Malaysia pada 2 Julai 2012 (Isnin) di Pusat Kenvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), Putrajaya.

Sehubungan itu, pihak Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) bekerjasama dalam membantu pihak KPDNKK untuk menyebarkan maklumat mengenai KDS1M kepada semua IPT awam dan swasta di seluruh Malaysia. Untuk makluman Ybhg. Datuk/Dato’ Prof./Dr./Tuan, pihak KPDNKK telah menerima maklumat pelajar daripada Kementerian/Agensi yang berkaitan dan pihak Bank Rakyat telah melaksanakan proses cetakan KDS1M. Kad berkenaan akan diedarkan oleh Bank Rakyat terus kepada IPT berkenaan. Bersama ini disertakan carta alir pengeluaran KDS1M seperti di Lampiran A.

KDS1M akan diberi secara percuma kepada pelajar IPT warganegara Malaysia yang sedang mengikuti pengajian jangka panjang. Caj RM2.00 akan dikenakan bagi setiap kad yang hilang/ gantian dan tempoh sah (validity) penggunaan KDS1M ialah semasa tempoh pengajian seseorang pelajar sahaja. KDS1M juga merupakan Flash card dan bukan kad yang menawarkan mata ganjaran. Pelajar hanya perlu menunjukan KDS1M dan kad pelajar/kad matrik bagi mendapatkan diskaun yang ditawarkan.

Diskaun yang ditawarkan oleh syarikat-syarikat yang mengambil bahagian adalah diantara 5% hingga 6% bagi barangan dan perkhidmatan terpilih tertakluk kepada terma dan syarat yang telah ditetapkan. Maklumat lengkap berkaitan syarikat, kadar diskaun dan syarat diskaun boleh disemak melalui portal www.1pengguna.com/kds1m/ Mulai 3 Julai 2012